!-- THIS SKIN PROTECTED BY WAWA ! --!>
Hello ! you're strumble upon ilhamku . Please mind your manners . Thanks
//naryz ilhamku// ♥
ilhamku
Saturday, March 13, 2010 | 0 narnians


TAJUK: ISU PEMBANGUNAN ILMU DAN BUDAYA ILMU

1.PENDAHULUAN
Budaya juga merupakan gambaran ketamadunan sesuatu bangsa dan ketinggian budaya menunjukkan ketinggiannya tamaddun.Ilmu pula berkait rapat dengan kemajuan sesuatu bangsa.Maka ilmu dan ketamadunan tidak boleh dipisahkan.Tamadun berteraskan keilmuan mampu menjana generasi cemerlang dan gemilang.Oleh itu ilmu wajar dibangunkan dari satu tahap kesatu tahap yang lebih tinggi.

2.DEFINISI ILMU
Ilmu ,mengikut tafsiran Confucius (551-475 S.M) seorang tokoh terkenal di negara Cina, ialah memperoleh kefahaman dan pengetahuan sesuatu perkara atau hakikat yang sebenar.
Imam Ghazali pula berpendapat ilmu tidak dapat dipisahkan daripada hakikat dan kebenaran.Beliau berpendapat ilmu adalah sama dengan kefahaman agama dan kemahiran-kemahiran untuk kehidupan.
Professor Syed Muhammad Al-Attas pula mengatakan ilmu merupakan sesuatu bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia.Keadaan ini menunjukan ilmu tidak hanya terhad kepada kebenaran yang bersifat empirikal,tetapi juga merangkumi kebenaran –kebenaran yang berkaitan dengan jiwa manusia.Beliau juga berpendapat seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran,malahan keyakinan dan kesedaran bahawa ilmu boleh memberikan kepuasan kepada jiwa manusia dan menimbulkan keinginan untuk mengejar kebahagiaan yang bermakna dalam kehidupan.

3.DEFINISI BUDAYA
Budaya pula secara ringkasnya menurut Shipman(1975) ialah kelakuan manusia berdasarkan kelompok-kelompok tertentu merangkumi dari aspek pemikiran, kepercayaan ,sikap dan tindakan kebiasaan yang menggambarkan cara hidup mereka seharian.Contohnya dalam konteks budaya sekolah ,melarang pelajar bersukan pada waktu tengahari.
Jadi budaya juga boleh diertikan sebagai satu himpunan penghasilan dan kefahaman yang dikongsi bersama oleh ahli ahli sesuatu bangsa atau masyarakat. Himpunan dan kefahaman ini meliputi sikap,kepercayaan,cara hidup,tradisi,tingkahlaku,bahasa dan kesenian yang diterima dan menjadi nilaitara utama dalam hidup ahli-ahli sesuatu bangsa atau masyarakat.

.Mok Soon Sang didalam bukunya menggabungkan budaya ilmu dan membawa erti sebagai segala aktiviti ilmu pengetahuan yang dilaksanakan oleh setiap anggota dalam masyarakat dan diterima sebagai nilaian utama dalam amalan hidup mereka.

4.JENIS-JENIS ILMU
Konsep ilmu juga boleh ditinjau daripada berbagai jenis ilmu yang terdapat dalam alam pendidikan.Secara amnya, ilmu boleh dibahagikan kepada dua kategori yang utama iaitu:
i. Ilmu persepsi.
Ilmu yang diperolehi melalui pancaindera manusia.Ilmu jenis ini merupakan ilmu yang berkaitan dengan kefahaman fenomena-fenomena atau semulajadi.
ii. Ilmu rasional.
Ilmu berperingkat tinggi kerana ilmu jenis ini diperolehi melalui kajian dan taakulan,misalnya konsep,penilaian,rumusan dan sebagainya.


5. BUDAYA ILMU
Ilmu dari satu tahap ke satu tahap mencapai pembangunan dengan keterlibatan segenap lapisan masyarakat.Pembangunan ilmu sekaligus terhasil apabila ia menjadi budaya didalam masyarakat .
Budaya ilmu boleh dibahagikan didalam enam jenis bidang:
i) Budaya membaca: iaitu sentiasa memperolehi minat dan rajin membaca dengan tujuan menambah ilmu pengetahuan serta mengembangkan daya fikir sendiri.
ii) Budaya berfikir: iaitu sentiasa berusaha meningkatkan pemikiran diri sendiri melalui proses analisis sintesis dan kritis.
iii) Budaya belajar: iaitu sentiasa berusaha menambah dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui pelbagai proses pembelajaran.
iv) Budaya berkarya: iaitu sentiasa berusaha menyebarkan ilmu pengetahuan atau kemahiran dengan lisan ataupun secara bertulis sebagai sumbangan untuk dimanfaatkan oleh ahli-ahli masyarakat.
v) Bermusyawarah: iaitu pengurusan dan proses membuat keputusan tantang hal pendidikan dijalankan secara muafakat atau musyawwarah dalam semangat berpasukan.
vi) Reflaksi : iaitu proses penilaian kendiri ,menimbangkan hasil dapatan daripada kajian kes pendidikan dengan tujuan ,menyedari dan memahami kekuatan dan kelemahannya,dan mencari ikhtiar untuk mengatasi kelemahan tersebut.

6.ASPEK ILMU
Menurut pendapat Sharifah Alawiyah Alsagoff,melalui bukunya “Falsafah Pendidikan”,ilmu merangkumi tiga aspek berikut:
i. Ilmu sebagai kepercayaan,pendapat dan kebenaran umum,misalnya agama,adat,nilai dan
sikap asas terhadap hidup.
ii. Ilmu sebagai kecekapan diri,misalnya kemahiran-kemahiran dalam bidang jasmani,sosial
dan intelek.
iii. Ilmu yang dilahirkan daripada kontemplasi,penikmatan dan kajian kendiri,seperti ilmu-
Ilmu yang bercorak kreativiti dan penuntutan intelek, iaitu mencari ilmu untuk kebaikan fikiran, dan sebagai seni halus, iaitu seni lukis,seni ukir,seni bina,muzik,tarian dan lakonan.


7.ASPEK BUDAYA ILMU DISEKOLAH
Sekolah merupakan institusi utama dalam penyebaran ilmu.Pelajar-pelajar seawal 7 tahun dihidangkan dengan pelbagai pengalaman dan pengetahuan – pengetahuan baru.kurikulum disekolah semakin dipertingkatkan lagi bagi mempersiapkan pelajar-pelajar dengan cabaran-cabaran di alaf baru.Antara aspek dititikberatkan bagi merealisasikan pembudayaan ilmu di sekolah,antaranya ialah:




i. Guru dan murid adalah dua golongan yang mencintai ilmu.Guru dari semasa ke semasa perlulah mendalami ilmu melalui proses pembacaan,penyelidikan ,penyertaan didalam seminar,bengkel dan bersedia melanjutkan pengajian dengan lebih tinggi.
ii. Semangat bertanding dalam pencapaian akademik merupakan salah satu aspek membudayakan ilmu disekolah.
iii. Bahan bacaan mencukupi dan terdapat kemudahan pusat sumber dan tempat membaca yang mencukupi selain dari pada menumpukan pelajaran semata-mata didalam bilik darjah.
iv. Adanya kegiatan berunsurkan ilmu seperti pertandingan bahas,peraduan membaca,pantun,kem motivasi,kelas tambahan,penerbitan majalah sekolah,rakan tutor dan lain-lain lagi.aktiviti tersebut memerlikan guru yang mempunyai kepakaran yang tinggi.
v. Tradisi memhahami ilmu secara menyeluruh dan bukan kepada aspek tertentu sahaja, akan menambahkan lagi percambahan pemikiran murid dan keyakinan guru untuk menyebarkan ilmu serta kepakaran yang sedia ada.
vi. Institusi sekolah dipelbagaikan kepada bidang-bidang tertentu,contohnya aliran agama agar pelajar dapat memilih aliran mengikut minat dan kecenderungan masing-masing.


4.PEMBANGUNAN TAMADUN MANUSIA BERTERASKAN BUDAYA ILMU
Sorotan sejarah telah mengajar kita menyusur berbagai kronologi peristiwa penting yang sekaligus membuktikan bahawa golongan manusia yang tamadunnya tinggi adalah bersendikan kepada budaya intelektual yang tinggi dalam zaman mereka .
Golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan sebenarnya bukanlah membuktikan sebuah kekuatan hakiki tetapi berpandukan dari sejarah tamadun manusia , seringkali kita saksikan bahwa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak diasaskan oleh budaya ilmu yang baik , akan memeluk dan menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu (Wan Mohd. Nor,1997)
Antara contoh bersejarah yang dapat diambil ialah seperti golongan Mongol yang telah menyerang Baghdad , menjatuhkan Dinasti Abbasiyah dan seterusnya merosakkan sumber-sumber keilmuan dan tamadun Islam.Peristiwa tersebut merupakan babak paling menyedihkan dalam sejarah. Kemudiannya telah memeluk Islam dan melahirkan generasi Islam baharu di Turki , China dan Rusia pada hari ini .
Kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai oleh kaum-kaum Yunani , Yahudi , China , India dan umat Islam di zaman silam serta betapa canggihnya pencapaian sains dan teknologi negara-negara Barat pada hari ini juga adalah bukti nyata di mana sesebuah golongan manusia itu jika ilmu dan budaya ke arahnya dimartabatkan di kedudukan yang tinggi di dalam masyarakat mereka .
Zaman Yunani kuno telah melahirkan ramai ilmuan terkenal seperti Socrates , Plato dan juga Aristotle yang banyak mempelopori ilmu falsafah , logik serta geometri . Albert Einstein , Karl Marx dan Sigmund Freud dilihat sebagai diantara tokoh intelektual berketurunan Yahudi yang berpengaruh besar di dalam pelbagai bidang keilmuan moden . Mazhab Konfuciunisme Baru yang mewarnai tamadun China klasik di mana kecenderungan amali telah memberi sumbangan besar kepada manusia sejagat melalui penghasilan kertas , sutera , percetakan , kompas serta ubat meriam .
Budaya India Kuno pula yang lebih memberikan penekanan kepada ilmu yang paling abstrak telah memberikan sumbangan bernilai terhadap bidang astronomi , geometri serta perubatan .
Fenomena budaya ilmu itu mula berubah apabila agama Kristian yang menguasai negara-negara Barat pada Zaman Pertengahan telah menyebabkan ilmu itu sendiri telah diilhami oleh semangat sekular sekaligus mempengaruhi setiap aspek kehidupan dan pemikiran manusia moden hari ini . (Wan Mohd. Nor, 1997)


4.BUDAYA ILMU DI DALAM AGAMA ISLAM DAN MASYARAKAT MELAYU
Semangat keilmuan dan pendidikan antara aspek sosial yang mendapat kesan langsung dengan kedatangan islam dialam melayu.Islam telah mengubah kedudukan ilmu dan pendidikan masyarakat melayu sehingga menganggapnya persoalan yang begitu penting .Islam juga memperkenalkan metod ilmu berteraskan pendekatan ilmiah dan rasional.
Ilmu dan pendidikan didemokrasikan untuk seluruh masyarakat, bukannya menjadi santapan sesetengah golongan tertentu, seperti mana sebelum kedatangan islam. Contohnya diTanah Melayu semasa zaman penjajahan British, dasar pelajaran lebih berasaskan prinsip dualism.Penyebaran ilmu mengikut dasar sosial.Prinsip tersebut membahagikan masyarakat tradisi Melayu kepada dua iaitu golongan pemerintah dan golongan rakyat.Golongan rakyat diberikan pendidikan dengan penubuhan-penubuhan sekolah, hanya sebagai tanda mereka tidak diabaikan.Namun penggarapan ilmu amat terhad, dimana pendidikan melayu hanya diperingkat rendah sahaja.Matapelajaran diajarkan hanya berorientasikan pekerjaan.Dengan situasi ini pendidikan yang merupakan aspek penting penyebaran ilmu tidak berfungsi dan tidak releven,malah kurikulum disediakan hanya membekukan masyarakat melayu.Namun situasi amat berbeza pada masakini.Pembangunan ilmu begitu pesat secara drastik.
Berbalik kepada budaya ilmu islam, Dr. Hasan Langgulung (1979) berpendapat bahawa dengan turunnya ayat al-Quran yang pertama di Gua Hira kepada Baginda Rasulullah S.A.W adalah tanda akan bangkitnya satu peradaban baru di dunia .
Ini kerana apabila manusia itu disuruh membaca (Surah al-’Alaq :1-5) maka proses “membaca” itu sendiri akan melibatkan berbagai proses mental yang tinggi seperti proses pengenalan (cognition) , ingatan atau hafalan (memory) , pengamatan (perception) , pengucapan (verbalizing) , pemikiran (reasoning) serta daya cipta (creativity).
Jika dilihat dari segi psikologi, proses pembacaan itu sendiri akan melibatkan keseluruhan struktur mental manusia itu sebagai kecerdasan seseorang individu (intellegence) . Dari aspek sosial pula proses pembacaan tadi akan menghubungkan perasaan , pemikiran dan tingkahlaku seseorang manusia kepada manusia yang lain . Pembacaan yang terhasil dari simbol yang dapat dibaca iaitu tulisan akan menjadi alat sistem perhubungan yang akan mewujudkan suatu sistem sosial , di samping penggunaan bahasa itu sendiri akan dijadikan sebagai gudang (storage) tempat penyimpanan nilai-nilai budaya yang akan berpindah dari satu generasi ke generasi selanjutnya .
Perubahan sikap individu yang suka membaca atau aktiviti ke arah keilmuan ini akan menular kepada keluarga individu tersebut dan seterusnya akan menular lagi ke dalam masyarakat . (Hasan Langgulung , 1979).Daripada impak pembacaan , oleh kerana manusia dikurniakan akal maka manusia akan memikirkan apa yang dibacanya .
Adalah jelas di sini bahawa , al-Quranlah punca kepada proses keilmuan . Darinya akan lahirlah budaya keilmuan yang diamalkan oleh individu dan setiap anggota masyarakat dan menyebabkan perubahan tamadun manusia sekaligus punca tercetusnya pembangunan tamadun umat Islam .
Hasan Langgulung melihat terjadinya perkembangan dan tersiarnya kebudayaan Islam ke serata tempat adalah berpunca daripada agama Islam sendiri kerana Islam adalah agama yang pertama sekali mengakui bahawa setiap manusia itu berhak malah diperintahkan untuk menuntut ilmu pengetahuan dan mempelajari kemahiran-kemahiran mengikut kecenderungan masing-masing . (Hasan Langgulung , 1979)
Hal ini dimanifestasikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w apabila baginda mendirikan sebuah masjid yang pertama di dalam Islam iaitu Masjid Quba. Pembinaannya sama seperti pembinaan masjid-masjid lain iaitu bukanlah semata-mata untuk beribadah solat sahaja tetapi juga menjadi tempat pertemuan , perpaduan dan markaz yang strategik di mana umat Islam boleh berjumpa , berbincang dan mempelajari ilmu .(Kamarudin Ahmad dan Azman Md. Zain , 2002)
Di dalam masjid juga baginda akan mengajar dan memberi khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat akan duduk mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoal jawab berkaitan dengan urusan agama atau kehidupan seharian .
Berlainan dengan tamadun Kuno seperti China dan India , proses keilmuan hanya terbatas kepada golongan tertentu sahaja seperti golongan aristokrat , golongan lelaki sahaja atau khusus untuk golongan pendeta atau ahli agama (Wan Mohd Nor , 1997)
Dengan kedatangan islam,golongan ilmuan dan berpendidikan mendapat tempat yang wajar disisi masyarakat.dalam beberapa keadaan,golongan ilmuan menjadi rujukan Sultan dan pihak pentadbir.Menggantikan golongan pawang dan bomoh yang sebelumnya begitu penting.kesan lain daripada itu ialah berlakunya proses pengantarabangsaan dari pelosok dunia.Alam melayu bukan sahaja terkenal dinegara dinegara rantau,malah dinegara-negara islam diseluruh rantau.Alam melayu telah memecahkan kepompongnya kedunia antara bangsa.
Kedatangan islam telah mencetuskan revolusi keilmuan dialam melayu.Kelahiran pusat-pusat keilmuan dialam melayu disamping melahirkan tokoh-tokoh ilmuan yang dating dari dunia islam yang lain seperti Tanah Arab,telah melahirkan ilmuan tempatan.Antara tokoh ilmuan tempatan ialah Hamzah Fansuri,Bukhari Al-Jauhari dan syeikh Daud Abdullah al-Fattani.
Pendidikan agama ,khususnya pendidikan Alquran telah dianggap penting oleh masyarakat melayu.Status mereka yang mendapat pendidikan agama yang digelar lebai pondok adalah tinggi dalam masyarakat.Mereka menjadi contoh yang baik ,contoh peribadi melayu dan islam yang unggul.Masjid bukan sahaja dijadikan tempat beribadat malah dijadikan tempat menimba ilmu,dewan permesyuaratan dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah samada dalam urusan agama ataupun kemasyarakatan.Pembangunan ilmu agama bertambah pesat dengan tertubuhnya institusi madrasah dan pondok .
Namun apa yang mengecewakan ,fenomena yang berlaku dalam masyarakat melayu kini,lebih menjurus kearah budaya hedonistic yang melalaikan dan bukan mencerminkan budaya keilmuan dalam masyarakat.Andainya budaya tidak sihat ini berterusan,pembentukan tamadun Malaysia berteraskan ilmu akan terencat.Kita perhatikan golongan remaja sekarang jauh tersasar dari garisannya dengan menyerapnya gejala sosial bersifat negative.Remaja melayu sesetengahnya terus rosak dan hanyut.


5.CIRI-CIRI MASYARAKAT YANG BERBUDAYA ILMU
Ibnu Khaldun berpendapat keadaan ilmu pengetahuan juga merupakan keperluan iaitu ilmu dan pengajaran merupakan suatu yang tabii.Ilmu dan makrifah manusia terbentuk samada dengan cara pengajian iaitu proses pengajaran mereka menjadi sempurna ataupun melalui masyarakat dimana mereka mengambil ilmu-ilmu itu secara talqin(pandang dengar) dan muhakah(peniruan).
Hubungan antara ilmu dan masyarakat adalah sangat kuat.Didalam idea pendidikan moden,tokoh-tokoh falsafah pendidikan,para pemikir dan pendidik secara amnya telah menegaskan bahawa ilmu dan pendidikan sangat penting untuk memastikan kemajuan dalam masyarakat.Kemunduran pada sebahagian Negara dari aspek ilmu,boleh diatasi dengan membangunkan ilmu secara holistic.




i. Menyedari Kepentingan Ilmu
Masyarakat yang berbudaya ilmu akan menjadikan ilmu sebagai asas segala kebaikan. Ilmu yang dipelajari bukanlah tiket untuk mendapatkan kemewahan material , melahirkan pekerja yang cekap atau peluang untuk pekerjaan lumayan tetapi lebih kepada penanaman sikap untuk memuliakan ilmu dengan cara menuntutnya dan seterusnya menghayatinya seumur hidup . Tindakan manusia baik secara individu mahu pun di peringkat masyarakat , diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahu pun syura .



ii. Hasil Ilmiah Yang Berkekalan
Berkekalan di sini bermaksud bahawa sebarang usaha dan hasil yang berteraskan ilmiah itu seharusnya merupakan sumbangan dan amal kebajikan penting bagi diri sendiri dan juga manusia , dan sumbangan tersebut akan diberi ganjaran yang bersifat kekal .Bagi ilmuan non-Muslim , mereka pasti mendapat kemasyhuran nama sepanjang zaman manakala bagi ilmuan Muslim pula percaya kepada ganjaran pahala amal jariah di akhirat . Budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami , mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu tetapi lebih penting juga mampu menjelmakan sifat keilmuan dalam pelbagai bidang agar pemaduan ilmu dapat mewujudkan kepaduan diri dan masyarakat

iii. Usaha Keilmuan Yang Berkekalan
Di dalam masyarakat yang berbudaya ilmu , anggota masyarakatnya perlu maklum bahawa pendidikan itu adalah proses pembelajaran sepanjang hayat yakni dari buaian hingga ke liang lahad . Individu dan institusi berpengaruh dalam masyarakat akan memberi keutamaan , bantuan , kemudahan , dan pengiktirafan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang melibatkan diri di dalam usaha mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan.




iv. Hormat-Kritis Terhadap Ilmu
Masyarakat berbudaya ilmu juga mesti berani mencari kebenaran dan memperbaiki hasil pemikiran tokoh ilmuan terdahulu . Perkara ini dapat disaksikan melalui rentetan sejarah dimana Imam Syafi’i serta Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Malik . Contoh lain pula Imam al-Ghazali mengkritik kekeliruan ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan unsur dan pemikir Yunani tetapi tetap mengakui sumbangan dan keagungan para pemikir Yunani tersebut . Dalam diri dan masyarakat , tidak akan mengiktiraf sifat jahil , bebal dan anti ilmu .

v. Kesinambungan Tradisi Keilmuan
Peka dan sedar betapa pentingnya kesinambungan atau sejarah ilmu atau keilmuan juga
sebuah nilai yang amat mustahak dimana ilmu itu sendiri tidak terbatas kadarnya serta manusia itu sendiri tidak akan dapat memikirkannya bermula dari titik kosong . Khazanah keilmuan generasi terdahulu dan juga semasa seharusnya diketahui dan seterusnya direkodkan .
vi. Kepimpinan
Masyarakat yang mahu memilih barisan para pemimpin mereka tentunya terlebih dahulu mesti memahami dan menghayati budaya ilmu itu sendiri sebelum menilai , memilih dan mengukuhkan pemimpin yang berilmu , adil , bijaksana , berwawasan jauh dan tegas . Ini juga bermakna , mana-mana individu atau kumpulan pemimpin yang mahu memimpin masyarakat , semestinya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dasar dan kepakaran yang sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa bersesuaian dengan keperluan zamannya .
vii. Bermusyawarah
Seseorang individu setentunya tidak akan dapat mengetahui semua perkara yang diperlukan untuk hidup secara sendirian apatah lagi sebagai sebuah masyarakat kerana ilmu bersifat tidak terbatas . Solusinya ialah dengan cara bermusyawarah. Ini kerana di samping proses itu sendiri merupakan suatu jelmaan ciri budaya ilmu , syura juga merupakan amalan Rasulullah saw dimana baginda sendiri seringkali bermusyawarah dengan para sahabatnya yang berwibawa dalam hal yang berkaitan dengan maslahat orang ramai serta seringkali juga menerima pandangan mereka .

xi. Pengiktirafan Peranan Wanita
Wanita memang berperanan besar di dalam menentukan dan membina budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia . Zaman pramoden menyaksikan kaum wanita secara tidak rasmi telah berpengaruh besar di dalam peringkat rumahtangga khususnya mengenai urusan penerusan adat resam , penjagaan keluarga dan kemahiran hidup berkeluarga .
Ahli sejarah melihat pengabaian pendidikan kaum wanita seperti di dalam tamadun Yunani Kuno dilihat sebagai punca kepada kejatuhan tamadun masyarakat Yunani itu sendiri .
Agama Islam pula bersumberkan dari wahyu atau hadis , memerintahkan kepada kaum Muslimin , lelaki dan juga perempuan untuk sama-sama menuntut ilmu pengetahuan dan menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah SWT di muka bumi ini . Isteri-isteri Rasulullah saw sendiri terutamanya Siti Aisyah adalah sumber rujukan para sahabat khususnya mengenai al-Quran , hadis , fekah selain syair , sejarah Arab , nasab keturunan (silsilah) dan juga perubatan .
Jelas di sini bahawa , kaum wanita memberi kesan kepada sesebuah institusi keluarga. Manakala kekeluargaan pula merupakan paksi kekuatan sesebuah masyarakat .(Hasan Langgulung ,1979)

4.1 DASAR GALAKAN MEMBACA

Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi tujuan pelaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2)m iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”.
Ia selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat mengikut perkara 4.7.5 iaitu : “ untuk menanam dan menggalakkan minat membaca”.Dasar ini pula menyokong matlamat Dasar Buku Negara iaitu memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti.Dasar ini juga menyahut cabaran dan menyokong matlamat Wawasan 2020 iaitu untuk melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan bermaklumat berasaskan budaya sains dan teknologi.Dasar Galakan Membaca bertujuan untuk dijadikan garis panduan bagi mencapai objektif berikut:
Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca di kalangan masyarakat.
Memupuk minat dan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia.
Meningkatkan tahap pembacaan rakyat Malaysia.
Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu.
Menjadikan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai pusat perujukan maklumat kebangsaan mengenai pembacaan dan galakan membaca.
Menilai keberkesanan Kempen Membaca Kebangsaan.
Bagi menentukan hala tuju program galakan membaca, urus setia jawatankuasa telah dibentuk dengan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai Urus Setia Jawatankuasa Gerakan Membaca Kebangsaan dan Perpustakaan Awam Negeri-negeri sebagai Urus Setia Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri.

6.CABARAN BUDAYA ILMU MASA KINI
Terdapat banyak cabaran yang perlu ditangani agar hasrat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya ilmu pada zaman sekarang . Diantaranya ialah ;
i.Salah anggap masyarakat terhadap ilmu
Masyarakat melayu silam melihat ”ilmu” dan usaha kearahnya itu hanya sebagai memenuhi kepada keperluan peribadatan sahaja . Contohnya mempelajari ilmu astronomi hanya untuk memastikan waktu-waktu solat atau ketibaan bulan-bulan penting sahaja . Ilmu matematik hanya khusus untuk mengira fidyah , zakat atau pembahagian harta pusaka (Wan Mohd. Nor Wan Daud,1997).
Masyarakat pada hari pula melihat aspek pendidikan sebagai syarat untuk lulus peperiksaan sekaligus sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang lumayan , kurikulum yang tersedia juga kurang memberi peluang untuk para pelajar untuk berfikir secara aktif , ilmu itu juga telah disempitkan melalui pengkhususan dan pengelasan , ilmu tidak dapat kaitkan dengan iman dan amal serta terpinggirnya kesan ilmu terhadap aspek akhlak . Oleh itu , set minda masyarakat yang sempit yang berkemungkinan diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti pengaruh sekularisme atau dualisme yang diperkenalkan oleh pentadbiran kolonial silam misalnya perlulah diubah melalui pendidikan Islam agar konsep ilmu yang luas dapat memberi impak yang sempurna kepada masyarakat .



ii.Pengaruh berlebihan budaya korporat dan penswastaan terhadap ilmu dan sistem pendidikan.
Apabila manusia hanya asyik memikirkan keuntungan material sahaja dengan cara memperniagakan kegiatan intelektual secara komersial secara tidak langsung akan menyebabkan terpinggirnya budaya ilmu itu sendiri kerana ia sudah tidak lagi diasaskan oleh konsep ibadah dan keikhlasan.


iii.Tiada wujudnya kesinambungan usaha intelektual di alam karier .
Usaha membuat kajian dan penyelidikan (research and development) di dalam sektor kerajaan serta swasta sebenarnya memberikan impak besar terhadap kemajuan negara . Tanpa adanya dapatan daripada penyelidikan dan kajian yang berterusan , produktiviti yang dikecapi hanyalah bersifat minima sahaja .

iv .Institusi informal dan non-formal dalam masyarakat yang pincang .
Perkara ini dapat dilihat melalui kurangnya peranan ibu bapa yakni kekeluargaan di dalam budaya ilmu .
Realiti zaman sekarang menyaksikan para ibu bapa kurang berperanan sebagai ejen sosialisasi dan role model penting kepada keluarga mereka . Hal ini sama sekali berbeza dengan masyarakat zaman silam yang tidak begitu terdedah dengan pengaruh negatif dari budaya luar kerana runtuhnya sistem kekeluargaan yang rapat walaupun para ibu bapa selalunya tiada berpendidikan tinggi .

v.Kurangnya imbalan atau insentif pihak kerajaan kepada para ilmuan dan kegiatan intelektual .
Ibn Khaldun di dalam kitab Muqaddimahnya ada menceritakan tentang kepesatan dan kemajuan ilmiah yang dicapai oleh wilayah Islam semasa pemerintahan amir-amir Turki dimana sekolah-sekolah (zawiyah) dan wakaf-wakaf banyak didirikan sebagai industri pelaburan di mana keuntungan yang diperolehi akan digunakan sebagai upah dan insentif serta motivasi bagi para pendidik dan pelajar .

vi.Kurangnya usaha mempublisitikan ilmu , tokoh keilmuan dan karya intelektual kepada masyarakat
Situasi ini disebabkan oleh pendedahan berlebihan terhadap dunia hiburan dan sukan melalui media massa serta gadget elektronik.

vii.Khazanah karya intelektual yang dilupakan .
Usaha mengkaji dan menyelidik karya-karya intelektual tokoh-tokoh keilmuan zaman silam perlulah dijalankan , diperkembangkan dan didedahkan kepada pelbagai lapisan masyarakat dari masa ke semasa agar segala pengajaran , nilai tujuan , kandungan dan kejayaan atau kegagalan para tokoh ilmuan tersebut dapat dimanfaatkan secara hormat-kritis) .

7. KEJAYAAN MEMUPUK BUDAYA ILMU
Kejayaan memupuk budaya ilmu dapat diperlihatkan daripada situasi berikut:
i. Wujud satu keadaan yang mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri,baik secara langsung atau tidak,dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan.
ii. Ilmu dianggap sebagai keutamaan tertinggi dalam system nilai peribadi dan masyarakat.
iii. Kewujudan keadaan di mana segala tindakan manusia pada peringkat individu dan masyarakat dilakukan atas landasan keilmuan, samada melalui kajian atau syura.
iv. Kewujudan keadaan usaha manusia menggunakan ilmu untuk meningkatkan kualiti hidup serta membawa kemakmuran,kesejahteraan dan kebahagiaan untuk keluarga, masyarakat dan Negara.
v. Kewujudan keadaan segala lapisan masyarakat menggunakan ilmu untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan, menolak kejahilan dan kepalsuan.



KESIMPULAN
Untuk memupuk kesedaran berbudaya ilmu di dalam masyarakat bukanlah satu impian yang terlalu ideal atau mustahil untuk dicapai . Ini kerana melalui pengalaman sejarah silam , generasi manusia terdahulu seperti masyarakat Yunani , China , India dan Islam sendiri pernah mencapainya di dalam pelbagai bidang keilmuan. Kecanggihan sains dan teknologi yang didominasi oleh negara-negara Barat dan negara Jepun moden sekarang ini adalah manifestasi dari budaya ilmu yang disemai di dalam masyarakat mereka .
Ibn Khaldun sendiri ada menyatakan bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran (ta’lim) merupakan hal semulajadi di dalam peradaban manusia . Jadi , tidak hairanlah bilamana tokoh itu tersebut pernah menyatakan bahawa sejarah jatuh bangun sesuatu bangsa berkaitan dengan budaya ilmu yang dihayatinya
Cubalah fikirkan apakah yang akan terjadi sekiranya masyarakat kita tidak berbudaya ilmu? Masyarakat yang tidak berbudaya ilmu pastinya akan berbudaya jahil atau bebal , bukan kerana ketiadaan maklumat atau fakta yang betul tetapi kerana rendahnya sifat rohaniah walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup .

















RUJUKAN

Al-Quran al-Karim
Abdullah Al Amin Al- Naimy .Kaedah Dan teknik pengajaran menurut Ibn Khaldun dan Al-Qabisi(terjemahan).malaysia Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan pustaka.cetakan pertama1994.

Hasan Langgulung , Dr. 1979 . Pendidikan Islam . Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara Haris Md.Jadi.edisi pertama 1990,Kuala Lumpur.Etnik politik dan pendidikan.Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ibn Khaldun .Mukadimah Ibn Khaldun (terjemahan). Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan : Edisi Ketiga . 2000. Malaysia, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Mok Soon Sang 2000 . Ilmu Pendidikan Untuk KPLI . Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang edisi kelapan2004.Pendidikan diMalaysia.Kuala Lumpur:kumpulan budiman SDN.BHD.
Mohd SallehLebar.cetakan ketiga 2007 Kuala Lumpur.pengenalan ringkas sosiologi sekolah dan pendidikan.thinkers library sdn.bhd
Ramli Awang,Mohd Nasir Ripin,Zulkifli Haron,Tamadun Islam dan Tamadun Asia.UTM Skudai:Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Social UTM Skudai.
★ OLDER POST | NEWER POST

oo